plezz click here.....tq very much...:-))

Friday, January 28, 2011

Tips Penjagaan untuk Wanita..

Jangkitan yang berulang boleh merosakkan Sistem Peranakan. Dalam kehidupan seseorang wanita, penjagaan alat sulit atau alat kelamin amat penting kerana ia berkait rapat dengan pengeluaran darah haid, hubungan seks dan kehamilan.
Bahagian ini sensitif pada perubahan persekitaran terutamanya keasidan dan kealkalian (pH) kemaluan wanita. Perubahan ini samada disebabkan jangkitan kuman, penggunaan sabun atau faktor fizikal, persekitaran ataupun kebersihan diri. Seseorang wanita mungkin tidak selesa, gatal, mengeluarkan keputihan yang tidak normal atau berbau, bengkak alat kelamin dan kesakitan.

Menurut Dr.Wan Zarina dari PKPUUM , wanita yang mempunyai tanda-tanda tersebut mudah dijangkiti kuman.
"Ia juga akan menjejaskan hubungan seks dan menimbulkan konflik antara suami dan isteri."
"Disamping itu, jangkitan kuman tertentu yang berulang boleh merosakkan sistem peranakan menyebabkan saluran fallopio tersumbat dan menjadikan seseorang itu sukar mendapat zuriat," katanya.

Ada beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan untuk menjaga alat kelamin atau reproduktif wanita.
Langkah-langkah penjagaan alat kelamin yang disyorkan:
  •       Membersihkan bahagian luar kemaluan selepas buang air kecil atau air besar, seelok-eloknya menggunakan air.
  •      Ketika haid, wanita dinasihatkan kerap menukar tuala wanita terutama pada hari-hari yang banyak darah keluar. Ini kerana darah adalah media yang sesuai untuk kuman membiak. Bagi wanita yang menggunakan tampon mereka perlu ingat untuk menukarnya.
  •      Elak daripada sering mengamalkan douching iatitu memasukkan jari atau pancutan ke dalam faraj dengan tujuan membersihkan bahagian dalam faraj. Perbuatan ini akan menyingkirkan sejenis bakteria lactobacilli dari faraj disamping mendedahkan faraj dan bahagian luar kemaluan kepada bahan kimia yang boleh mengakibatkan iritasi kulit.
  •      Elakkan menyabun atau menyapu shower gel pada alat kelamin kerana ia mungkin menyebabkan kekeringan dan iritasi kulit atau gatal. Sesetengah wanita sensitif dan alah pada pewangi dalam buih sabun.
  •      Amalkan membuang air kecil lebih kurang setengah jam selepas hubungan seks untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pundi kencing. Amalan ini berkesan untuk wanita yang sering mengalami jangkitan kuman pundi kencing (urinary tract infection).
  •       Elakkan memakai pakaian dalam sentetik yang terlalu ketat kerana ia menyebabkan kulit berpeluh, tiada peredaran udara pada kulit dan akhirnya menggalakkan kuman membiak.
  •       Pakaian dalam perlu ditukar setiap hari dan pada hari-hari mengalami keputihan, elok memakai panty liner supaya ia tidak melekat pada pakaian dalam yang menyebabkan ketidakselesaan.
Tambah Dr.Wan Zarina lagi, jangkitan kuman sering berlaku sekiranya alat sulit tidak dijaga dengan sempurna. Ini termasuk kuman bakteria, virus, kulat dan protozoa yang dapat ditularkan melalui hubungan seks (sexually transmitted disease). Wanita dan pasangan perlu berjumpa doktor sakit puan untuk ujian pengesahan dan rawatan spesifik. "Paling kerap berlaku ialah jangkitan kuman atau fungus yang dipanggil candida. Ia dapat dirawat dengan memasukkan ubat antifungus ataupun ubat pil ke dalam faraj." Ujar beliau.

Kumpulan kuman lain yang sering menyerang wanita ialah bacterial vaginosis. Pesakit akan mengadu mengeluarkan lendir busuk (fishy / odour discharge) dan kegatalan teruk. Ini dapat dirawat dengan antibiotic spesifik.

Katanya, wanita juga terdedah penyakit bengkak pada alat kelamin yang dipanggil bartholin cyst.
"Ia terjadi bermula dengan pembengkakan setempat pada bahagian bawah bibir kemaluan. Pada peringkat awal, pesakit mungkin tidak perasan kerana saiznya kecil. Cyst ini terbentuk akibat kelenjar Bartholin tersumbat dan bengkak yang sering terbentuk disebabkan jangkitan kuman bakteria.
"Ia dapat dikawal melalui pembedahan kecil pada cyst untuk mengeluarkan cecair yang terkumpul di dalam kelenjar tersebut. Sekiranya ia kerap berulang, dinasihatkan dibedah dan dikeluarkan," jelas Dr. Wan Zarina lagi.
Bengkak nanah (abcess) dikaitkan dengan jangkitan kuman dan pesakit mengadu sakit serta demam. Rawatan adalah secara incisional dan drainage untuk mengeluarkan nanah dan pengambilan antibiotik.
Selain itu, bisul juga boleh terjadi pada wanita yang sering bercukur. Oleh itu, kebersihan pencukur perlu dititikberatkan.


Penyakit lain yang turut dikaitkan dalam masalah ini ialah barah pada bahagian luar alat kelamin (vulva dan vagina). Namun ia jarang terjadi berbanding barah pangkal rahim, rahim atau ovari. Ia merangkumi hanya 5 peratus daripada semua jenis barah system produktif wanita.
"Penyakit ini sering berlaku pada wanita yang telah menopaus dengan purata umur 60 tahun. Pesakit akan mengalami kegatalan berterusan yang teruk diikuti ketumbuhan atau ulser yang kerap bermula pada bibir luar kemaluan. Rawatan ini merangkumi pembedahan besar dan radioterapi," katanya.

Ketika mengulas mengenai kaitan penjagaan alat sulit dengan masalah keputihan, Dr. Wan Zarina berkata keputihan kerap berlaku pada wanita dan penting sekali mereka tahu membezakan antara keputihan biasa dan yang berpenyakit.
"Keputihan yang normal boleh berlaku pada keadaan berikut iaitu:
  1.     Beberapa hari sebelum tiba haid
  2.     Ketika keghairahan seks
  3.     Kehamilan
  4.     Klimakterik atau selepas menopaus.
"Begitu juga sebelum tiba haid dan ketika hamil atau belaku perubahan paras hormon yang meningkat. Semua ini menyebabkan banyak keputihan atau cecair jernih yang melekit keluar dari faraj," ujar Dr. Wan Zarina

Tanda-tanda keputihan yang berpenyakit:
  •       Pertukaran warna dari jernih, putih ke kuning atau kehijauan atau berdarah. Sekiranya keputihan terlalu banyak, kadang-kadang ia keluar secara berketul- ketul kecil, gatal dan berbau. Tanda-tanda adalah seperti bengkak, pedih atau sakit pada alat kelamin. Sekiranya jangkitan merebak ke rahim atau sistem peranakan, wanita akan mengadu sakit pada bahagian bawah abdomen serta demam.
Dr. Wan Zarina juga menjelaskan, kebanyakan wanita tidak memerlukan produk atau ubat penjagaan alat kelamin sekiranya langkah-langkah yang disarankan tadi diikuti dengan bijak.
Ubat hanya perlu diambil bagi merawat jangkitan kuman dan keputihan yang tidak normal.
"Ada segelintir wanita berasa selesa dan puas apabila mereka membersih dan merawat alat kelamin dengan produk yang berada di pasaran. Mereka dinasihatkan memikir bahan pencuci yang tidak alergik, yang tidak mengubah pH faraj dan telah diuji kebersihannya.
"Sekiranya selepas menggunakan produk tersebut dan timbul rasa pedih, gatal atau kemerahan, wanita itu dinasihatkan tidak menggunakannya lagi dan berjumpa dengan doktor," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment