plezz click here.....tq very much...:-))

Saturday, January 15, 2011

KEWAJARAN PENDIDIKAN SEKS.....


Laporan akhbarkosmo hari ini memaparkan laporan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang tidak bersetuju pendidkan seks di ajar sekolah pada waktu sekarang. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, walaupun kesatuan itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan seks di sekolah-sekolah tetapi sesuatu yang menyedihkan ialah guru-guru kurang latihan formal dari segi kerumitan dan sensitiviti subjek itu dan tidak yakin untuk mengajarnya.


Cadangan kerajaan dalam memperbaiki sistem pengajian Malaysia salah satunya adalah untuk memperkenalkan pengajian seks dalam pembelajaran persekolahan. Tindakan ini adalah sejajar dengan keadaan semasa dimana banyak gejala social, pembuangan bayi dan peningkatan kes ibu-ibu muda.Namun,Adakah tindakan ini wajar? Adakah dengan mewujudkan subjek khas Pendidikan Seks akan menyelesaikan masalah muda mudi sekarang yang sukar dikawal, yang meletakkan nafsu lebih tinggi dari akal dan akhirnya berlaku kes-kes pembunuhan, pembuangan bayi oleh wanita-wanita muda yang mengandung dek kerana terdorong dengan nafsu.

Di negara barat, memang ada subjek pendidikan seks diajar di sekolah-sekolah. Tetapi penekanannya adalah lebih kepada aspek teknikal seperti bagaimana mengelakkan kehamilan dikalangan wanita, contohnya, penggunaan kondom ketika melalukan seks. Tapi di Malaysia,bagaimana? Adakah pendidikan seks juga menjurus kepada perkara tersebut dalam usaha mengelak kehamilan dikalangan muda-mudi dan justeru mengelakkan pembunuhan dan pembuangan bayi-bayi di surau, tong sampah dan tempat-tempat lain? Jika itu jawapannya, ia seolah-olah menggalakkan remaja kita melakukan seks tetapi dengan cara yang selamat. Ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

kecenderungan remaja dalam melibatkan diri dengan masalah sosial disebabkan sifat ingin tahu para remaja dan lonjakan hormon adrenaline yang membuatkan mereka bertindak mengikut emosi dan perasaan. Mengapa remaja cenderung untuk melakukan perkara yang terkutuk dalam semua agama ini? Salah satu faktor adalah kerana untuk mempunyai pengalaman sendiri selepas mengetahuinya daripada media-media.Bayangkan, jika kanak-kanak usia tujuh tahun menonton televisyen dan melihat adegan ciuman, apakah yang bermain dimindanya. Dia pasti tertanya-tanya, apakah yang sedang dilaukan dalam adegan itu. Bukan itu adalah pendedahan secara tidak langsung oleh media yang seterusnya mendorong kepada pengetahuan seks pada usia yang muda.

Andaikata pendidikan seks diberikan kepada pelajar pada peringkat awal lagi, kita seharusnya khuatir masalah sosial menjadi lebih parah dan akan melibatkan lebih ramai remaja daripada golongan bawah umur. Ini adalah kerana apabila sudah diberikan pendedahan secara teori, sifat semula jadi remaja yang ingin tahu akan membuak-buak untuk mengetahuinya secara praktikal pula. Andaikata perkara ini ditimbangtara dengan menggunakan logik akal fikiran sahaja nescaya akan membawa padah yang dahsyat.

Pendidikan Seks dalam Islam
Kamus Dewan mendefinasikan, ‘seks’ sebagai sifat-sifat yang membezakan laki-laki dan perempuan (jantina) atau keinginan syahwat. Secara umumnya, perkataan seks memberikan gambaran tentang suatu keadaan di mana wujudnya hubungan di antara berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan.

Dalam Islam, pendidikan seks boleh didefinasikan sebagai satu proses mengajar, menjelaskan dan meberi peringatan kepada remaja tentang isu yang berkaitan dengan seks, naluri, nafsu (syahwat), dan hubungannya dengan perkahwinan…sehingga mereka membesar dalam keadaan memahami erti kehidupan. Remaja mengetahui apa yang dibenarkan dan apa yang ditegah dan mereka menjadikan sikap dan tingkahlaku Islam sebagai praktik dalam kehidupan.

Dalam menanangani masalah sosial dikalangan muda mudi kini, kita seharusnya kembali kepada Islam. Lagipun kebanyakan kes-kes pembuangan bayi terdiri dikalangan muda-mudi islam.Apa yang baik telah digariskan oleh Allah SWT dengan jelas dan apa yang membawa keburukan juga telah digaris dengan jelas. Terpulang kepada kita samada ingin mengikutnya ataupun tidak.

Isu yang berkaitan dengan seks telah dibincangkan didalam al Quran. Pemerhatian yang mendalam terhadap kandungan al-Quran dan al-Hadith akan mendapati bahawa perbincangan tentang seks sentiasa dikaitkan dengan persoalan akidah, akhlak, tingkah laku mulia, menjauhi kemungkaran dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Sebagai contoh, al-Quran telah menggambarkan institusi perkahwinan sebagai sebuah institusi suci yang mampu memberi ketenangan dan merealisasikan erti kasih sayang yang sebenar melalui firmanNya yang bermaksud:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir-(Al-Rum: 21)

Nabi s.a.w. sendiri semasa hayatnya telah mengajar para sahabat baginda secara jelas pelbagai perkara yang berkaitan dengan persoalan seks. Segala permasalahan yang timbul di kalangan mereka akan terus dirujuk kepada Nabi s.a.w. untuk mendapat penjelasan. Kandungan sebuah hadith telah menunjukkan keprihatinan baginda dalam hal ini kerana telah memperuntukkan satu sesi khusus untuk wanita di kota Madinah mengemukakan masalah yang berkaitan dengan diri mereka (wanita) tanpa kehadiran kaum lelaki. Ini menggambarkan bahawa baginda amat mengggalakkan aktiviti perbincangan yang bermatlamatkan untuk menambah ilmu pengetahuan untuk kepentingan hidup seharian. Baginda menyatakan:

Kerahmatan bersama wanita Ansar (penduduk Madinah). Perasaan malu tidak menghalang mereka untuk mendapatkan ilmu pengetahuan agama. Saidina Ali r.a juga menyatakan tidak sepatutnya ada perasaan malu dalam perkara berkaitan agama.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah r.a. katanya:

Di zaman Rasulullah s.a.w., kami adalah pemuda-pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Rasulullah s.a.w. berkata kepada kami (yang bermaksud): “Wahai para pemuda, siapa yang mampu berumahtangga, kahwinlah. Sesungguhnya perkahwinan itu melindungi pandangan mata dan memelihara kehormatan. Tetapi siapa yang tidak mampu berkahwin, maka berpuasalah, kerana puasa itu merupakan pendindingnya.

42-15799580
Di dalam Islam penekanan pendidikan harus dimulakan daripada peringkat bawah supaya kanak-kanak dapat memahami perbezaan jantina yang wujud di antara mereka. Ini dapat dilihat pada peringkat usia 10 tahun lagi, ibu-bapa diarahkan untuk mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan. Arahan ini secara tidak langsung adalah satu bentuk didikan agar anak-anak ini dapat memahami bahawa perbezaan jantina yang wujud antara mereka tidak membolehkan mereka untuk berhubungan terlalu rapat walaupun mereka mempunyai pertalian darah. Apabila meningkat dewasa, kefahaman itu akan menjadi lebih jelas apabila mereka diwajibkan menutup aurat serta membatasi pergaulan dengan jantina yang berbeza.

Hal yang sama juga dapat dilihat melalui pendekatan yang digunakan oleh Islam untuk menerapkan garis kehidupan seksual umatnya.Contohnya, penekanan diberikan kepada langkah pencegahan awal seperti mewajibkan penutupan aurat, melarang pergaulan bebas antara jantina berbeza serta menetapkan mekanisme penyaluran keperluan seksual yang sah melalui institusi perkahwinan yang amat digalakkan di dalam Islam. Nabi s.a.w sendiri telah menyatakan bahawa mereka yang berkahwin itu telah menyempurnakan separuh daripada kesempurnaan agamanya bahkan mereka yang mengelakkan daripada berkahwin dalam keadaan mereka mampu berbuat demikian dianggap tidak termasuk dalam kelompok umatnya.

Pendekatan tersebut perlu diberikan penekanan kerana kandungan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah lebih menekankan kepada perkara tersebut berbanding hukuman. Namun jika manusia masih gagal untuk mengikuti pendekatan ‘lembut’ yang nyatakan, maka hukuman yang keras akan menanti mereka yang menyonsang perintah Allah dan fitrah kehidupan manusia. Syariat Islam telah menjanjikan sebatan seratus rotan untuk penzina bujang dan rejam sampai mati untuk penzina yang telah berkahwin. Hukuman ‘keras’ ini disediakan untuk mereka yang degil dan gagal untuk memahami tuntutan Tuhan yang manfaatnya adalah untuk kesejahteraan diri mereka sendiri.

Kandungan pendidikan seks juga mesti sentiasa dikaitkan dengan nilai-nilai murni mereka agar mereka dapat memahami manfaat dan akibat daripada sikap mereka untuk akur atau menyanggahi apa yang telah disampaikan kepada mereka.

Kesimpulan
Pendidikan Seks yang mahu diperkenalkan dalam system pendidikan Negara mungkin tidak perlu. Yang perlu , dilakukan adalah penekanan kepada aspek agama. Oleh kerana kebanyakan masalah melibatkan seks adalah terdiri dari muda-mudi islam, maka penekanan tersebut amatlah penting. Subjek pendidikan Islam yang sedia ada perlu diperkemaskan. Pada masa yang sama, Ibu bapa pula memainkan peranan medidik anak-anak secara tidak langsung berkaitan hal semasa mereka membesar. Takut pula, kalau-kalau pendidikan seks diperkenalkan di sekolah, maka ibu bapa akan bergantung sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Rujukan: Konsep dan Objektif Pendidikian Seks menurut perspektif Islam. Dr. Muhamad Zahiri Awang Mat dan Rahimi Md. Saad

No comments:

Post a Comment