plezz click here.....tq very much...:-))

Saturday, January 15, 2011

TABU ATAU PERLU PENDIDIKAN SEKS DI SEKOLAH?


KESESUAIAN dan kesan pendidikan seks untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia tidak habis-habis dibincangkan dan sehingga kini masih belum ada pelaksanaan pendidikan seks secara formal di sekolah.Di dalam sebuah laman web, seorang pengguna bertanya mengenai keburukan ajaran pendidikan seks di kalangan pelajar sekolah menengah.Menjawab soalan tersebut, seorang pengguna lain berpendapat sambil menegaskan tiada sebarang kesan buruk mengenai pengajaran subjek itu, bahkan ia perlu dimulakan lebih awal lagi.


Kata pengguna tersebut, kesan buruk pendidikan seks bergantung kepada apa yang diajar di sekolah iaitu hanya jika remaja tidak menerima maklumat yang lengkap.Pendedahan yang tidak menyeluruh atau terlalu minimum, tambahnya, hanya meluapkan lagi rasa ingin tahu yang akhirnya boleh meningkatkan kejadian seks bawah umur, jenayah rogol juvana dan lain-lain.Apatah lagi, dalam usia remaja, pengaruh-pengaruh lain telah banyak mendedahkan remaja dengan seks dan sebagainya dan jika tidak dibimbing dengan baik, mereka boleh terjebak dalam ketagihan bahan lucah dan seumpamanya.

Kenyataan pengguna internet tersebut memang ada kebenarannya apatah lagi dengan berleluasanya bahan lucah yang terlalu mudah didapati oleh sesiapa pun di negara kita termasuk remaja dan kanak-kanak. Penerbitan dan pengedaran bahan bacaan lucah telah lama diharamkan dari Malaysia, tetapi tiada siapa yang mampu mengawal akses terhadap bahan lucah dari internet.Sementara itu, pasaran VCD dan DVD lucah di Malaysia juga amat berleluasa dan bukan berpunca daripada kurangnya penguatkuasaan tetapi akibat sikap masyarakat.

Sekiranya tiada permintaan tiadalah pasaran, itu adalah hukum ekonomi yang paling asas.Bayangkan senario benar ini. Seorang lelaki yang sedang berjalan di Jalan Petaling di ibu kota dikerumuni bak semut oleh penjual-penjual VCD.Tanpa segan silu mereka menayangkan gambar-gambar kulit VCD lucah tanpa menghormati teman wanita di sebelah lelaki tersebut.

Jadi dengan akses bahan lucah yang begitu mudah, bagaimana remaja boleh memendamkan rasa ingin tahu semula jadi dengan cara yang betul sedangkan soal ini masih tabu untuk perbincangan terbuka?Remaja yang berusia di antara 11-18 tahun merupakan kelompok yang sedang mengalami perkembangan dan perubahan fizikal dan emosi khasnya berkaitan seksual. Ini akan membuatkan mereka cenderung mendapatkan maklumat daripada sumber tidak rasmi sekiranya gagal mendapatkan maklumat formal terutama dari sekolah atau pengamal kesihatan.

Ini termasuk melalui perbincangan dengan rakan sebaya, bahan bacaan seks atau percubaan secara perlakuan mastubasi, bercumbu bahkan terus melakukan hubungan seks. Kesannya kes-kes jenayah seksual, kehamilan bawah umur, jangkitan STD hingga kepada kes pembunuhan melibatkan pengguguran haram dan bayi-bayi comel yang mati dibuang merata-rata melibatkan remaja banyak terpampang di muka akhbar.

Antara faktor penting yang menyumbang kepada isu sosial ini ialah kurangnya pengetahuan terhadap kesihatan seks remaja.

Persoalan:Akhbar Kompas pernah melaporkan 94 peratus remaja Indonesia dahagakan maklumat mengenai persoalan dan kesihatan seks namun tidak mendapat maklumat yang tepat.WHO pula telah menegaskan dua kepentingan utama yang diperolehi daripada kesedaran pendidikan seks.

Pertama, mengurangkan bilangan remaja yang melakukan seks haram.

Kedua, melindungi mereka yang mengamalkannya daripada jangkitan STD seperti AIDS, chlamidia, gonorea, sifilis dan sebagainya.

Pendidikan seks menjadi lebih penting apatah lagi kajian WHO mendapati remaja perempuan (berusia 14-19 tahun) lebih mudah dijangkiti STD berbanding remaja lelaki dengan kadar 2:1.

Jadi, bagaimanakah cara pendidikan seks secara formal yang paling sesuai diperlukan oleh remaja kita?

Penyelidik The Heritage Foundation berpendapat pendidikan seks yang mengambil pendekatan menahan diri daripada seks (abstinance) lebih sesuai berbanding pendekatan amalan seks selamat yang lebih banyak menyentuh soal fizikal.

Menurut Rector R.E., Pardue M. G. dan Martin S. pula program menahan diri patut mengajar tentang kepentingan asas emosi dan psikologi dalam seksualiti manusia secara semula jadi dan bukannya aspek fizikal.

Katanya, remaja patut difahamkan bahawa asas kebahagiaan seksual wujud kualiti asas perkahwinan iaitu keintiman, kasih sayang dan komitmen.

Ini kerana jika menurut cara yang benar-benar betul, aktiviti seksual akan mendorong kepada pembinaan ikatan emosional jangka masa panjang di antara dua individu.

Oleh itu, program pendidikan seks mesti menggalakkan menahan diri daripada perilaku seks sepanjang peringkat remaja dan sebaiknya sehingga berumah tangga.

Topik pendidikan mesti menegaskan bahawa remaja yang terjebak dalam seks secara kasual bukan hanya akan memberi ancaman hamil dan jangkitan STD tetapi hilang kebolehan membina perhubungan kasih sayang selepas dewasa.

Maka, pendidikan seks seharusnya diperlukan di sekolah-sekolah bagi membimbing remaja membuat persediaan ke arah membina perkahwinan dan institusi kekeluargaan yang sihat.

Walau apa pun, kajian mendapati 62 peratus warga Amerika setuju menjauhi seks haram adalah jangkaan standard kepada semua peringkat umur pelajar sekolah seluruh dunia.

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
(WARTAWAN UTUSAN)

No comments:

Post a Comment