Wawancara: Inisiatif MyBrain15
2010/09/02
Prof Dr Azizul Halim Yahya
Usaha lahirkan lebih ramai pemegang PhD bantu tingkatkan ekonomi, teknologi negara kelak
MENJADI satu kemestian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nilai prestij sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu diukur dengan kelayakan akademik dimiliki tenaga pengajarnya. Bagi mencipta keseimbangan peratusan tenaga akademik di setiap IPT tanah air, kerajaan memperkenalkan Inisiatif Mybrain15 bagi menggalakkan lebih ramai pensyarah memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dianggarkan bakal membelanjakan kira-kira RM250 juta setahun bagi melahirkan 5,000 pemegang PhD untuk merealisasikan Inisiatif MyBrain15 itu.
Ikuti temubual wartawan Varsiti, Nik Sukry Ramli bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Azizul Halim Yahya bagi mengupas lebih jauh mengenai Inisiatif MyBrain15 dan peranannya dalam membawa negara ke tahap yang setanding dengan negara maju dunia.
Pada pandangan Prof, adakah dengan adanya program seperti Inisiatif MyBrain15, dan peningkatan jumlah pensyarah memiliki PhD, dapat memberikan kesan terhadap kualiti pelajar yang dihasilkan?
Penetapan Critical Agenda Project (CAP) MyBrain15 dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) menjadi ukuran prestasi untuk menjadi sebuah negara maju. PhD bukan sekadar segulung ijazah, tetapi kita harus melihat kepada komponen pada pemegang PhD itu sendiri. Pertamanya, PhD tidak akan diperoleh tanpa membuat penyelidikan. Penjanaan ilmu baru hanya boleh berlaku jika penyelidikan dilakukan. Ilmu baru inilah yang memastikan sesebuah negara berkembang, berinovasi, memiliki produktiviti yang tinggi di samping melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan. Keduanya, PhD adalah kaedah bagi membentuk kakitangan akademik menjadi ahli akademik tersohor yang mengutamakan aspek kesarjanaan.
Perlu kita ingat, Mybrain15 ini bukan setakat untuk melahirkan pemegang PhD di IPT saja, tetapi adalah strategi melahir atau meningkatkan lagi jumlah pemegang PhD di negara ini. Inisiatif Mybrain15 ini adalah tepat dan harus disokong oleh semua pihak. Walaupun memerlukan perbelanjaan tinggi, pulangannya juga adalah berpatutan. Saya pasti hasil usaha yang dijalankan akan dapat dilihat dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Dengan wujudnya IPT yang dilabelkan sebagai Universiti Penyelidikan (RU), keadaan ini menjadi desakan terbaru, dibebani pihak pengendali IPT itu sendiri dan tenaga pengajarnya. Sudah menjadi syarat, bagi menepati status sebagai RU, IPT berkenaan perlu memiliki sekurang-kurangnya 75 peratus tenaga akademik yang terdiri daripada pemegang PhD. Jadi, bagaimana Prof melihat isu ini?
Keputusan mewujudkan RU oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) harus dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada universiti yang terpilih dan satu bentuk cabaran yang diberikan kepada IPT berkenaan. Status RU ini tidak sepatutnya menjadi satu desakan ataupun beban kepada IPT dan juga warga mereka. Desakan ini hanya dirasai oleh mereka yang sukar untuk mengubah status quo mereka terutama dari aspek budaya kerja yang selama ini sudah sebati dengan mereka. Harapan sebenarnya untuk universiti bertaraf RU ini adalah dari segi untuk meningkatkan kecemerlangan dalam melahirkan graduan yang berkualiti di samping meningkatkan lebih ramai graduan pada peringkat sarjana dan PhD.
Kita juga perlu melihat satu perkara yang penting iaitu bidang penyelidikan yang harus diselidik. Sebagai contoh di Amerika Syarikat kira-kira 20 tahun lalu, bidang Sains Pertanian, Biologi, Matematik, Komputer, Kejuruteraan, Fizik, Aeroangkasa dan pelbagai lagi diberi keutamaan. Hasilnya, perubahan mendadak kepada corak topografi, industri, ekonomi dan teknologi berlaku, dan kini dinikmati negara berkenaan. Sehubungan itu universiti di negara kita juga harus melihat potensi bidang yang berkemungkinan dilihat sebagai bidang utama pada 10 dan 20 tahun akan datang.
Apakah MyBrain15 yang diinspirasikan oleh kerajaan ini mengambil model dari negara lain?
Konsep MyBrain15 ini sudah diwujudkan di beberapa negara seperti Korea Selatan. Mereka sudah mengeluarkan garis dasar seperti di negara kita. Kita boleh lihat ekonomi mereka dulu adalah hampir menyamai negara kita, tetapi pada hari ini pencapaian mereka meningkat dengan mendadak dan hampir menyamai Jepun dari segi teknologi dan inovasi. Begitu juga dengan Jepun. Mereka sentiasa melaksanakan penyelidikan dan menambah baik apa yang sedia ada.
Sehubungan itu, pernyataan sama ada konsep MyBrain15 ini diambil dari negara lain bukanlah menjadi isu yang penting di sini, tetapi kepercayaan terhadap konsep MyBrain15 itu sendiri sebenarnya yang menjadi keutamaan.
Bagaimana Prof melihat kepentingan memastikan Inisiatif MyBrain15 ini direalisasikan bagi menjayakan Model Baru Ekonomi (MBE) Ekonomi Berasaskan Inovasi?
Antara objektif utama MBE ini adalah bagi mentransformasikan ekonomi Malaysia dalam menjadikannya negara yang memiliki pendapatan tinggi dan perkembangan yang berkualiti. Maksudnya di sini adalah dari aspek kelestarian yang mana semua melihat bahawa peranan yang dimainkan oleh pelbagai sektor adalah amat penting. Jadi seperti yang saya sebut sebelum ini, kita perlu melihat bahawa dengan berjayanya inisiatif MyBrain15 ini, maka akan terdapat lebih ramai pemegang PhD di negara kita. Bilangan pemegang PhD yang ramai juga akan membawa kepada lebih ramai cendekiawan dan sarjana asing ke negara ini.
Secara tidak langsung dan sudah pasti inovasi serta idea baru akan dapat diketengahkan dan idea inilah sebenarnya kita lihat sebagai modal pembangunan kejayaan sesebuah negara itu terutama dalam aspek untuk mentransformasikan ekonomi sesebuah negara untuk mencapai dan memiliki rakyat yang berpendapatan tinggi. Berjayanya inisiatif MyBrain15 juga bermakna akan lahir lebih ramai sarjana, cendekiawan, perusahaan industri yang berdasarkan inovasi di samping dapat mewujudkan pemikiran yang baru.
RM2.68b lancar tiga program baru MyBrain15
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2010/12/02
PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi semalam melancarkan tiga program baru di bawah MyBrain15 dengan peruntukan sebanyak RM2.68 bilion, dalam usaha meningkatkan jumlah graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2015.
Tiga program baru itu ialah Program Pembiayaan Ijazah Sarjana Dalam Negara (MyMaster), Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Kedoktoran Dalam Negara (MyPhD) dan Program PhD Industri.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) itu turut membabitkan Program Skim Latihan Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).
“Kementerian menetapkan sasaran menghasilkan 24,300 pemegang PhD dan 40,000 pemegang Ijazah Sarjana dalam RMKe-10, jadi pelaksanaan empat program ini diharap mampu menyumbang kepada peningkatan bilangan itu.
“Pada masa sama, program MyMaster dan MyPhD dijangka dapat merealisasikan hasrat Malaysia menjadi hab inovasi kerana penyelidikan kini dilakukan di IPT tempatan dan bukan lagi di luar negara,” katanya selepas melancarkan Program Pembiayaan Ijazah Lanjutan di bawah RMKe-10 kementeriannya di sini, semalam.
Mengulas mengenai syarat permohonan, Mohamed Khaled berkata, peserta MyPhD perlu berkhidmat dalam negara selama lima tahun manakala MyMaster perlu menamatkan pengajian di IPT terbabit dan jika gagal berbuat demikian mereka perlu membayar balik kos pembiayaan berkenaan.
“Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan dalam talian sepanjang tahun mulai hari ini (semalam) dan semua permohonan akan diproses dalam empat fasa iaitu Januari, April, Julai dan Oktober,” katanya.
No comments:
Post a Comment